MINGGU PEDULI UMMAH 1448H
Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Amin (Putra Mahkota)
7 – 18 September 2026
Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Amin (Putra Mahkota) telah melaksanakan Minggu Peduli Ummah 1448H pada 7 hingga 18 September 2026. Program yang dianjurkan oleh Unit Pembangunan Insan (UPI) dengan kerjasama Unit Kurikulum, Unit Kokurikulum dan Unit Hal Ehwal Murid ini merupakan salah satu inisiatif pendidikan dan tarbiah sekolah dalam menyemai kesedaran warga sekolah terhadap isu, cabaran serta nasib umat Islam dan masyarakat di seluruh dunia.
Minggu Peduli Ummah dilaksanakan dengan hasrat untuk membentuk warga sekolah yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan, bahkan memiliki jiwa ihsan, sifat prihatin dan kesediaan untuk memainkan peranan membawa kebaikan kepada masyarakat dan ummah. Aspirasi ini selari dengan usaha sekolah dalam membentuk Insan Rabbani yang peka terhadap keadaan sekeliling serta mampu menterjemahkan nilai yang dipelajari melalui tindakan yang bermakna.
Program ini turut mengangkat tiga fokus utama melalui penglibatan unit-unit sekolah, iaitu kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid. Dalam aspek kurikulum, murid diberikan pengalaman pembelajaran di lapangan dan di luar bilik darjah berkaitan isu serta keprihatinan terhadap masyarakat. Melalui kokurikulum pula, murid didedahkan kepada aktiviti khidmat masyarakat yang membina kemampuan mereka untuk menyumbang dan memupuk sikap prihatin. Sementara itu, aspek Hal Ehwal Murid diterjemahkan melalui usaha mewujudkan persekitaran kelas yang ceria, kreatif dan bermakna dengan tema “Peduli Ummah & Hari Malaysia”, di samping memupuk semangat kerjasama dan kecintaan terhadap negara.
Peduli Ummah Bermula dari Halaqah Kecil
Sepanjang minggu pelaksanaan, perjumpaan Mentor-Mentee dan konstruk bertemakan “Peduli Ummah” menjadi antara pengisian utama program. Sesi ini memberikan ruang kepada murid untuk berbincang, berkongsi pandangan dan menghayati makna kepedulian terhadap ummah dalam konteks yang dekat dengan kehidupan mereka.
Pendekatan melalui kumpulan Mentor-Mentee ini menjadikan nilai peduli ummah tidak sekadar satu tema program, tetapi dapat dibincangkan dalam suasana yang lebih dekat dan bersifat tarbawi bersama guru mentor.
Menyemarakkan Peduli Ummah Melalui Khidmat Masyarakat
Semangat kepedulian turut diterjemahkan melalui aktiviti khidmat masyarakat, antaranya agihan air minuman kepada orang awam. Air minuman yang disediakan turut ditampal dengan pelekat program sebagai salah satu usaha membawa mesej kepedulian kepada masyarakat.
Aktiviti yang sederhana ini memberikan pengalaman kepada murid bahawa membantu orang lain tidak semestinya memerlukan sesuatu yang besar. Sebaliknya, setiap individu mampu menyumbang melalui perkara kecil yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh kesedaran.
Kemuncak Program: Majlis Penutup dan Selawat Nabi
Kemuncak Minggu Peduli Ummah 1448H berlangsung pada 18 September 2026 menerusi Majlis Penutup Bulan Peduli Ummah dan Selawat Nabi.
Majlis dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan perarakan berselawat yang melibatkan murid dan guru dalam bangunan sekolah. Walaupun perarakan tidak dapat dibuat di luar bangunan sekolah sepertimana kebiasaan perarakan akibat jerebu, namun, suasana ini menjadi wadah dan pengalaman baharu untuk menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta menghidupkan nilai ukhuwah dan kebersamaan dalam kalangan warga sekolah.
Program diteruskan dengan sesi ceramah dan pengisian di dewan sekolah sebagai ruang pengukuhan kepada mesej utama Minggu Peduli Ummah.
Membina Generasi yang Peduli
Secara keseluruhannya, Minggu Peduli Ummah 1448H menjadi satu platform yang menggabungkan elemen pendidikan, tarbiah, khidmat masyarakat, pembinaan sahsiah dan semangat kecintaan terhadap negara. Program ini bukan sekadar dilaksanakan untuk memenuhi takwim sekolah, tetapi diusahakan sebagai satu pengalaman yang dapat membantu murid memahami bahawa mereka mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang lebih baik.
Melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, murid dididik untuk melihat bahawa kepedulian terhadap ummah bermula daripada perkara yang dekat dengan diri iaitu: peka terhadap keadaan sekeliling, mengambil berat tentang orang lain, bekerjasama, membantu mereka yang memerlukan serta berani menyumbang walaupun melalui usaha yang kecil.
Semoga segala pengalaman yang diperoleh sepanjang Minggu Peduli Ummah ini terus terpahat dalam diri murid dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan usaha kecil yang disemai di sekolah hari ini menjadi benih kepada lahirnya generasi yang berjiwa ihsan, cakna terhadap isu kemanusiaan, bijak membuat pilihan sebagai pengguna yang bertanggungjawab, menghargai peranan masjid serta sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan ummah.
Sesungguhnya, membina generasi yang peduli bukanlah usaha sehari. Ia merupakan proses tarbiah yang berterusan. Bermula daripada kesedaran, diteruskan dengan penghayatan dan akhirnya diterjemahkan melalui amal dan tindakan.
Semoga segala usaha warga Sekolah Rendah Islam Integrasi Al-Amin (Putra Mahkota) dalam menjayakan Minggu Peduli Ummah 1448H diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT dan menjadi salah satu langkah kecil dalam membentuk Insan Rabbani yang prihatin, berjiwa besar dan sentiasa membawa kebaikan kepada ummah.
#MingguPeduliUmmah1448H
#PeduliUmmah
#InsanRabbani
#SRIIAAPM
#MuslehKita











